APAKAH MAKNA KEADILAN DALAM PENDIDIKAN?

APAKAH MAKNA KEADILAN DALAM PENDIDIKAN?

Penulis amat berminat meneroka tema keadilan dalam pendidikan kerana penulis percaya tema universal ini amat berpengaruh khususnya dalam menjamin keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia. Penulis turut berpandangan bahawa tema ini tidak terbatas semata-mata kepada persoalan undang-undang tetapi turut melibatkan persoalan yang lebih asasi iaitu persoalan moral.

Keadilan, apabila ditinjau daripada Pandangan Alam Islam, dirumus sebagai keperluan “meletakkan sesuatu pada tempatnya”. Kefahaman masyarakat Muslim terdahulu berkenaan isu ‘keadilan dalam pendidikan’ secara umumnya menumpu kepada dua perkara utama iaitu penyusunan kurikulum dan hala tuju pendidikan, serta hubungan guru-murid yang berkualiti.

Faham “meletakkan sesuatu pada tempatnya” begitu berpengaruh dalam perencanaan kurikulum dan hala tuju pendidikan masyarakat Muslim terdahulu. Usaha ini termasuklah kegiatan menertibkan sumber dan kaedah ilmu (epistemologi) serta pembahagian ilmu kepada dua kategori iaitu ilmu fardu ain (yang perlu dikuasai dan menjadi tanggungjawab setiap Muslim) dan ilmu fardu kifayah (yang perlu dikuasai dan menjadi tanggungjawab sebahagian Muslim sahaja). Pembahagian ini pula diikatakan dinamik (tidak jumud) kerana turut mengambil kira bakat atau potensi individu. Sebagai contoh, ilmu ekonomi (yang secara umumnya dikategorikan sebagai fardu kifayah) wajib dikuasai oleh mereka yang berpotensi bagi menjamin kelangsungan masyarakat. Berkenaan hubungan guru-murid yang berkualiti, faham “meletakkan sesuatu pada tempatnya” menekankan kepentingan saling beradab di antara guru dan murid. Penekanan kepada hubungan guru-murid yang berkualiti ini sebenarnya turut dikongsi oleh tradisi keagamaan yang lain seperti Buddhisme dan Konfusianisme.

Wacana keadilan dalam pendidikan terus berkembang seiring dengan peredaran masa. Walaubagaimanapun, ini tidaklah bermaksud faham keadilan sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya” dalam perencanaan kurikulum dan hala tuju pendidikan ataupun hubungan guru-murid yang berkualiti menjadi tidak relevan. Perkembangan ini tidak lain melainkan salah satu cabaran sezaman yang perlu dihadapi bagi kelangsungan masyarakat dunia hari ini. Wacana keadilan dalam pendidikan hari ini turut menyentuh persoalan keadilan sosial. Pada masa yang sama, kerencaman pengalaman manusia dari dalam dan luar negara semakin merumitkan keadaan kerana ciri universal wacana ini memestikan cara fikir yang universal turut dirumus bagi membolehkan masyarakat dunia saling bertukar pengalaman dan penyelesaian. Kekurangan ataupun ketiadaan wacana keadilan sosial dalam masyarakat terdahulu pula tidaklah semestinya bermaksud mereka sepenuhnya menafikan kepentingan wacana sebegini. Hal ini tentu sekali dipengaruhi oleh kecenderungan masyarakat homogen pada masa dahulu yang bukan sahaja cenderung berkongsi kawasan tetapi juga nilai, andaian  dan cara hidup tertentu yang belum dicabar atau sekurang-kurangnya dibandingkan dengan masyarakat homogen yang lain.

Di Malaysia, penyuburan keadilan sosial dalam pendidikan jelas kelihatan daripada komitmen penggubal dasar untuk memastikan semua warganegara mempunyai peluang yang sama untuk menerima pendidikan yang berkualiti tanpa mengambil kira perbezaan latar belakang mereka sama ada berupa kaum, agama, jantina ataupun kelas sosial. Secara umum, pelaksanaan komitmen ini tidak menghadapi halangan yang nyata di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Namun, beberapa persoalan seperti peluang kemasukan ke universiti dan biasiswa mula timbul dengan lebih ketara apabila melibatkan pendidikan tinggi. Dalam lain perkataan, komitmen kita untuk melaksanakan keadilan sosial seolah-olah terbantut dengan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif yang berterusan. Persoalannya sekarang, bagaimanakah faham “menempatkan sesuatu pada tempatnya” boleh memimpin perjuangan keadilan sosial dengan lebih berkesan?

KEADILAN SOSIAL DAN TINDAKAN AFIRMATIF

Tindakan afirmatif (affirmative action) bukan hanya diamalkan di Malaysia. Penulis merasa perlu merujuk pengalaman tindakan afirmatif di Amerika Syarikat sebagaimana yang telah disampaikan oleh Michael J. Sandel dalam buku beliau berjudul ‘Justice: What’s the right thing to do?” sebelum membuat perbandingan ringkas dengan pengalaman serupa di Malaysia. Buku ini dipilih kerana beliau telah mendedikasikan sebuah bab berjudul ‘Arguing Affrimative Action‘ bagi membicarakan tindakan afirmatif secara ilmiah dengan mengambil kira hujah-hujah sokongan berserta hujah-hujah bangkangan yang dikemukakan di Amerika. Walaupun Malaysia tidak berkongsi latar belakang yang sepenuhnya sama dengan Amerika, penulis percaya terdapat beberapa manfaat yang masih boleh diambil daripada merenung pengalaman tindakan afirmatif di sana.

Sandel memulakan bab ini dengan membawa kisah berikut. Apabila permohonan kemasukannya ke Sekolah Undang-undang Universiti Texas ditolak, Cheryl Hopwood menganggap penolakan ini sebagai tidak adil kerana terdapat ramai pemohon berketurunan Afrika dan Mexico yang diterima sekalipun keputusan ujian kemasukan mereka lebih rendah. Tambah menarik apabila semua pemohon minoriti dengan keputusan yang lebih rendah daripada Hopwood diterima semata-mata kerana sekolah ini mengamalkan dasar tindakan afirmatif.

Walaupun lahir berkulit putih, Hopwood tidak lahir dalam keluarga yang mewah. Membesar tanpa ayah pula menuntut Hopwood berusaha keras untuk meningkatkan mutu kehidupan dengan meraih keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kecewa dengan penolakan tersebut, beliau tekad membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan dengan dakwaan beliau diskriminasi. Pihak universiti, walaubagaimanapun, membidas dakwaan ini dengan mengemukakan tujuan dan kewajaran mereka melaksanakan dasar tindakan afirmatif.

TINDAKAN AFIRMATIF: RINGKASAN TIGA HUJAH SOKONGAN BERSERTA BANGKANGAN

Penyokong tindakan afirmatif biasanya mengemukakan tiga hujah berikut untuk menghalalkan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif: Mengimbangi kesan bias daripada penyeragaman ujian, menebus kesalahan lalu dan menggalakkan kepelbagaian.

HUJAH #1 – MENGIMBANGI KESAN BIAS DARIPADA PENYERAGAMAN UJIAN

Keberkesanan penggunaan sebuah ujian yang seragam untuk menjangka kejayaan akademik dan kerjaya seseorang pelajar memang telah lama menjadi pertikaian. Sekalipun pengkritik tindakan afirmatif mungkin bersetuju dengan keperluan menafsir markah ujian mengikut perbezaan latar belakang pelajar (seperti latar belakang keluarga, budaya dan pendidikan), mereka tetap tidak bersetuju dengan pemilihan kemasukan pelajar berdasarkan kaum dan etnik. Bagi mereka, kesedaran ini seharusnya mencerminkan keperluan mencari cara terbaik untuk menguji keupayaan sebenar setiap pelajar dan bukannya dijadikan hujah untuk menyokong pelaksanaan dasar tindakan afirmatif.

 HUJAH #2 – MENEBUS KESALAHAN MASA LALU

Hujah kedua mempertahan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif sebagai cara terbaik untuk menebus kesalahan masa lalu. Mengikut hujah ini, pelajar daripada kumpulan minoriti yang pernah didiskriminasi berada dalam keadaan yang dirugikan. Oleh itu, mereka berhak untuk diberi keutamaan. Dalam lain perkataan, pelaksanaan tindakan afirmatif diharap berupaya mengagih manfaat-manfaat tertentu (termasuklah kuota kemasukan ke universiti) bagi menebus kesalahan seterusnya menghapus kesan-kesan lain yang diakibatkan oleh diskriminasi masa lalu.

Para pengkritik menyanggah hujah ini dengan menimbulkan beberapa persoalan. Pertama, mereka menegaskan bahawa para penerima manfaat tindakan afirmatif hari ini tidak semestinya merupakan kumpulan minoriti sama yang telah didiskriminasi pada masa lalu. Begitu juga dengan kumpulan yang diminta untuk berkorban hari ini sedangkan mereka juga belum tentu terlibat dengan diskriminasi yang pernah berlaku. Apatah lagi sekiranya mereka belum dilahirkan ke dunia ini. Dalam lain perkataan, keturunan mereka yang terbukti mendiskriminasi juga seharusnya tidak dibebankan dengan kesalahan ayah, datuk atau moyang mereka.

Kedua, tidak semua individu daripada kumpulan minoriti yang pernah didiskriminasi hadapi kesukaran hidup, sebagaimana tidak semua individu daripada kumpulan yang dikatakan pernah mendiskriminasi nikmati kehidupan yang mewah. Sekiranya tindakan afirmatif benar-benar bertujuan membantu mereka yang dirugikan oleh keadaan, maka tindakan afirmatif seharusnya didasarkan kepada perbezaan kelas dan bukannya perbezaan kaum.

Selain itu, persoalan lain yang ditimbulkan di sini ialah idea masyarakat berkenaan tanggungjawab kolektif (collective responsibility) yang cenderung memaksa keturunan sesebuah kaum mewarisi tanggungjawab atas kesalahan generasi terdahulu.

 HUJAH #3 – MENGGALAKKAN KEPELBAGAIAN

Hujah ketiga ini – menggalakkan kepelbagaian – merupakan hujah terkuat yang dimajukan oleh para penyokong dasar tindakan afirmatif. Berbeza dengan hujah kedua, hujah ini tidak terikat dengan idea tanggungjawab kolektif, dan juga tidak bergantung kepada kewajaran mengutamakan kumpulan minoriti yang telah didiskriminasi atau dirugikan. Manfaat-manfaat yang diraih daripada pelaksanaan dasar tindakan afirmatif pula tidak dilihat sebagai ganjaran kepada penerima tetapi lebih sebagai satu keperluan. Ringkasnya, dasar tindakan afirmatif diambil sebagai langkah terbaik untuk mencapai matlamat sosial yang wajar iaitu menggalakkan kepelbagaian.

Menggalakkan kepelbagaian di semua peringkat termasuklah sekolah dan universiti dilihat sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Sebagai contoh, para pelajar diyakini berpeluang untuk lebih belajar daripada satu sama lain sekiranya mereka datang daripada latar belakang berbeza berbanding sebaliknya. Selain itu, menggalakkan kepelbagaian sebegini juga membolehkan institusi seperti sekolah memenuhi matlamat sivik penubuhannya dan menyumbang kepada kebaikan bersama. Tambah meyakinkan apabila terdapat institusi yang sedia kongsikan kejayaan akademik kumpulan minoriti yang menerima manfaat daripada pelaksanaan dasar tindakan afirmatif.

Hujah ini menghadapi dua bentuk sanggahan. Sanggahan pertama mempersoal keberkesanan tindakan afirmatif. Menurut pengkritik, pelaksanaan dasar tindakan afirmatif tidak menjamin kelangsungan dan keharmonian hidup sebuah masyarakat yang majmuk atau mengurangkan prejudis dan ketidakadilan. Pendekatan ini malah dilihat akan merosakkan keyakinan diri minoriti, meningkatkan kesedaran perkauman (racial consciousness), meninggikan ketegangan kaum dan juga menimbulkan rasa geram dalam kalangan kumpulan majoriti yang dahulunya pernah mendiskriminasi.

Sekiranya sanggahan pertama merupakan sanggahan amali (practical objection), sanggahan kedua pula merupakan sanggahan berprinsip (principled objection).  Dikatakan berprinsip kerana para pengkritik tidak mengambil berat alasan menggalakkan kepelbagaian ataupun kejayaan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif. Bagi mereka, tindakan afirmatif berasaskan pemilihan kaum atau etnik tetap tidak adil kerana melanggar hak pemohon (apatah lagi sekiranya mereka terbukti lebih cemerlang dan ditolak semata-mata kerana pelaksanaan dasar tindakan afirmatif). Walaubagaimanapun, sanggahan ini boleh dijawab dengan mengatakan bahawa tindakan afirmatif tidak melibatkan prejudis yang mengandaikan kemuliaan sesebuah kaum atas kaum yang lain. Selain itu, pelaksanaan dasar tindakan afirmatif juga disejajarkan dengan matlamat institusi. Ini bermaksud, kemasukan masuk seseorang pelajar tidak selalunya bergantung kepada pencapaian cemerlang mereka semata-mata tetapi turut mengambil kira kriteria tertentu yang dikehendaki oleh institusi.

TINDAKAN AFIRMATIF DALAM PENDIDIKAN: RINGKASAN PENGALAMAN MALAYSIA DAN PERBANDINGANNYA DENGAN AMERIKA

Berbeza dengan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif dalam sistem pendidikan Amerika yang secara umumnya memberi kelebihan kepada kumpulan minoriti, dasar tindakan afirmatif di Malaysia memberi kelebihan kepada kumpulan majoriti. Pelaksanaan di Amerika bertujuan menebus kesalahan masa lalu terhadap kumpulan minoriti manakala pelaksanaan di Malaysia pula berusaha menebus kesalahan masa lalu terhadap kumpulan majoriti. Bolehlah dirumuskan di sini bahawa tindakan afirmatif boleh dilaksanakan dengan memihak kepada kumpulan majoriti ataupun minoriti mengikut latar belakang sesebuah masyarakat. Selain itu, kefahaman ini juga memungkinkan perubahan pembelaan tindakan afirmatif – sama ada memihak kepada kumpulan majoriti ataupun minoriti – mengikut keperluan semasa.

Dalam banyak keadaan, ketiga-tiga hujah menyokong pelaksanaan dasar tindakan afirmatif di Amerika turut digunakan di Malaysia. Walaubagaimanapun, hujah ketiga yang merupakan hujah terkuat penyokong tindakan afirmatif di Amerika bukan sahaja tidak digunakan tetapi juga dinafikan di Malaysia khususnya dalam keputusan untuk terus menutup kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) suatu ketika dahulu.

 RUMUSAN DAN HARAPAN

Artikel ini merupakan sebuah cubaan menempatkan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif pada tempatnya yang wajar – sesuai dengan faham keadilan sebagai “menempatkan sesuatu pada tempatnya” – sekaligus menyuburkan idea keadilan sosial dalam pendidikan. Daripada perbincangan ringkas terdahulu, bolehlah disimpulkan bahawa pelaksanaan dasar tindakan afirmatif bukanlah sesuatu yang muktamad (bukan sesuatu yang perlu terus dikekalkan sepanjang masa). Dasar tindakan afirmatif boleh disifatkan sebagai anjal. Keanjalan dasar tindakan afirmatif, sebagaimana penggunaannya dalam membela nasib minoriti di Amerika dan membela nasib majoriti di Malaysia, seharusnya menyedarkan kita bahawa pelaksanaan tindakan afirmatif boleh dilaksanakan untuk membela nasib majoriti ataupun minoriti. Kesedaran ini penting kerana memungkinkan perubahan pelaksanaan tindakan afirmatif daripada membela majoriti kepada membela minoriti ataupun daripada membela minoriti kepada membela majoriti di sesebuah tempat dilakukan mengikut keperluan. Selain itu, kesedaran ini turut memungkinkan penangguhan dasar tindakan afirmatif pada satu-satu masa yang mungkin dimotivasikan oleh kemakmuran ekonomi yang teragih dengan baik. Dalam konteks Malaysia, kita tentu sekali berharap apa-apa sahaja pendekatan yang digunakan menguntungkan semua warganegara semaksima mungkin seterusnya menggalakkan keharmonian masyarakat yang lebih tulen dan ikhlas.

KREDIT

Gambar: Harvard University

https://wordpress.com/read/blogs/147113680/posts/1176

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s